JANUARI 2023

MA63 Jadi Keutamaan GPS - Fadillah


SIBU: Gabungan Parti Sarawak (GPS) memastikan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) menjadi keutamaan, sejak Kerajaan Perpaduan mentadbir negara.

Timbalan Perdana Menteri, Dato Sri Fadillah Yusof berkata, dalam masa sebulan, beberapa isu berhubung MA63 dapat diselesaikan. 

"Antaranya ialah membenarkan Sabah dan Sarawak mempunyai pengurusan secara langsung terhadap pelaksanaan mana-mana projek yang bernilai bawah RM50 juta dan ini bermakna 70 peratus daripada projek persekutuan akan diuruskan oleh negeri.

"Projek-projek yang berada dalam lingkungan kos itu merangkumi sekolah, klinik, balai bomba dan projek-projek luar bandar lain dapat dijalankan oleh JKR Sarawak," katanya semasa berucap pada majlis jamuan malam bersama pemimpin GPS di Dewan MUC malam tadi.

Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, keputusan itu amat bermakna di dalam usaha mempercepatkan pembangunan di luar bandar.

“Inilah kedudukannya bila kita dapat bersama membentuk kerajaan dan suara kita didengar dan yang penting GPS diiktiraf peranannya dalam pembentukan Kerajaan Perpaduan,” ujarnya.

Fadillah yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya berkata, GPS memainkan peranan di dalam menentukan kestabilan politik negara selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

"Justeru, setiap ahli komponen GPS perlu memastikan Kerajaan Perpaduan itu kekal dalam tempoh lima tahun akan datang demi kepentingan pembangunan untuk rakyat Sarawak," tegasnya.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr Annuar Rapaee, Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Michael Tiang, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng, ADUN Katibas, Lidam Assan dan Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Romeo Christopher Tegong.

Sumber dari : Jiwa Bakti